Press Releases

Kelantan dijangka tidak alami banjir besar musim tengkujuh ini

28 November 2021 / Berita Harian 


PASIR MAS: Kelantan dijangka tidak mengalami banjir besar seperti yang pernah dialami pada 2014 dalam tempoh musim tengkujuh kali ini, kata Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau berkata ia berikutan jumlah taburan terkini hujan dicatatkan di negeri itu ialah sebanyak 1,825 milimeter (mm) atau 68 peratus daripada jumlah purata hujan tahunan sebanyak 2,700mm.

Katanya, data hujan tahunan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menunjukkan baki peratusan hujan yang tinggal adalah sebanyak 32 peratus.

"Hanya tinggal beberapa episod hujan dan Insya-Allah kita jangka banjir di Kelantan tahun ini tidak besar seperti tahun-tahun sebelum ini termasuk pada Disember 2014.

"Bagaimanapun kita telah membuat persiapan, berusaha dan berdoa kepada Allah SWT kerana antara bumi dan langit itu milik Allah. Kita berusaha untuk mengelak kerosakan besar, seperti yang saya maklumkan tadi taburan hujan tahun ini kemungkinan tidak berlaku banjir besar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena Lawatan Kerja Menteri Alam Sekitar dan Air (KASA) di Projek Penstabilan Tebing Sungai Kelantan di Kampung Pohon Celagi di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, JPS sentiasa membuat pemantauan terutama di kawasan berisiko banjir serta tanah runtuh.

"Beberapa kawasan berisiko yang kita kenal pasti iaitu di pantai dan sungai termasuk di Bachok, Pasir Mas di Kelantan; Yan, Kedah dan Ampang, Selangor. Bagi kawasan berisiko ini, kita membuat persediaan lebih awal dengan membaik pulih kerosakan

"Untuk projek membaik pulih runtuhan tebing Sungai di Kampung Pohon Celagi, setakat ini sudah mencapai 42.65 peratus dan ia dijangka siap sepenuhnya 3 Mei tahun depan.

"Jangkaan awal projek ini adalah 38.5 peratus, namun ia melebihi sasaran apabila pembinaannya lebih cepat dan kesemua kerja di bahagian bawah sudah selepas. Kita berpuas hati dengan projek ini kerana sasaran kementerian dapat dicapai menjelang 100 hari Inspirasi Keluarga Malaysia," katanya.

Copyright © 2020 MMC Engineering.
All rights reserved.
MMC Engineering Sdn Bhd is a wholly-owned subsidiary of MMC Corporation Berhad.